Thursday, 31 December 2020

Amaran



Ebook ini adalah hak cipta terpelihara http://mudanyakahwin.blogspot.com

Anda dilarang sama sekali sama ada Mnegubah, Mengedarkan atau menjual Ebook ini kepada orang lain.

Sebarang tindakan yang menyalahi etika penerbitan boleh dikenakan tindakan undang undang.

Oleh itu hendaklah melaporkan kepada pihak admin sekiranya menerima ebook ini tanpa melalui http://mudanyakahwin.blogspot.com

Tindakan anda amatlah dihargai bagi membanteras kegiatan kegiatan sebegini.

Jika anda memiliki sacara tidak sah, saya tidak menghalalkan dunia dan akhirat.

Yang benar : Saniah Mat Sanat
http://mudanyakahwin.blogspot.com

https://www.facebook.com/saniah.matsanat

Sunday, 13 May 2018

Sesi Berkenalan


Dengan berpakaian baju kurung dan bertemankan seorang adik, saya bertemu dengan keluarga si dia.   Soalan pertama dari bakal mak mentua ialah habis sekolah agama darjah berapa. Dengan yakin masa itu saya jawab darjah empat. Ketika itu saya tidak terfikir, apakah yang tersembunyi di sebalik soalan yang mudah itu.

Rupa - rupanya jawapan yang saya berikan itu ada makna yang tersirat. Mentua cuma ingin tahu saya tahu atau tidak asas - asas agama. Dari jawapan itu mak tidak bertanya banyak, saya fikir ketika itu mak tidak berapa sukakan saya. Dengan wajah seriusnya, buat saya risau dan berdebar - debar adakah saya di terima atau tidak.

Semasa sesi berkenalan dan temuduga berlangsung, si dia tidak mengambil bahagian. Rupanya dia sengaja membiarkan saya menyesuaikan diri bersama keluarganya.  Alhamdulillah, saya lulus. Apabila  teringat kembali pengalaman bertemu dengan keluarga suami, saya tahu betapa pentingnya pengetahuan agama untuk bakal - bakal isteri di luar sana.

Paling penting dalam memilih pasangan adalah yang beragama. Astagfirullah.  Wallahu'alam.

Mudanya Kahwin


" Mudanya kahwin, kenapa ? " itulah soalan yang selalu di tanya oleh rakan atau orang yang baru mengenali saya. Ya, soalan yang saya sendiri sukar mahu menjawabnya.  Maklum sajalah semasa membuat keputusan ingin berkahwin, umur saya baru berusia sembilan belas tahun. Apalah sangat yang difikirkan oleh seorang anak gadis.  Apabila saya menambah ilmu, baru saya tahu kebaikan kahwin muda. Bagi saya, jika seorang lelaki itu baik dan berani cukuplah.  Ceteknya pemikiran saya ketika itu. Orang mudalah katakan. Eh, jangan marah ya.  Baca dulu kebaikan kahwin muda di bawah.

Banyak sebenarnya kelebihan berkahwin semasa usia muda. Sebahagian dari kita tidak menyedari kahwin muda mampu memelihara maruah wanita serta keluarganya dari fitnah dan zina. Lebih-lebih lagi ketika berada di pusat pengajian yang sama. Sudah pasti bila ada masa terluang janji temu akan diatur bagi melepas kerinduan. Sekali dua mungkin boleh bertahan tetapi masuk ketiga dan seterusnya, adakah keadaannya masih sama? Ditambah pula jika ‘berdua’ sudah pasti ada yang ketiga iaitu ‘syaitan’.  Dengan berkahwin, segala-galanya terpelihara. Baik dari segi syariat, akhlak, agama dan macam - macam lagi. Dari sudut yang lain, ibu bapa tidak perlu lagi risau kerana sudah ada orang yang sah di sisi agama untuk menjaga keselamatan, keperluan dan kebajikan anak perempuannya.

Islam juga mengalakkan kita untuk menyegerakan perkahwinan jika sudah cukup syarat-syarat zahir dan batin. Berkahwin bukankah mengikut fitrah kejadian manusia itu sendiri. Perkahwinan juga termasuk amalan sunnah kerana boleh memperbanyakkan jumlah umat Islam di muka bumi. Paling utama, in shaa Allah kita punyai saham akhirat apabila ada anak soleh yang mendoakan apabila kita di alam sana nanti. Jika agama menyukai, mengapa kita harus menangguhkannya ?

Beritahulah saya siapa yang boleh tahan dengan godaan cinta di zaman sekarang? Dengan iman yang hanya senipis kulit bawang, bagaimana kita ingin memikul gelodak nafsu yang membuak - buak. Jikalau kita menunggu untuk berkahwin apabila hanya apabila kita mempunyai kerja, memiliki kereta dan rumah, bayangkan derita perasaan yang perlu ditanggung sebelum sampai masa itu? Anak -anak muda zaman sekarang berSMS, berfacebook dan berbual di telefon tidak henti, berpegangan tangan, menonton wayang, bukankah itu boleh membangkitkan nafsu dan membawa ke arah zina? Langkah penyelesaiannya ialah percepatkan akad nikah agar tidak terus mendekatinya. Ia bukan sahaja dapat mengelakkan hubungan luar nikah, malah kes kahwin ke Selatan Thailand dan kes buang bayi juga boleh dielakkan.

Ya lah, sebelum ini kita hanya mempunyai seorang ibu dan seorang bapa, sekarang bukan saja bergelar suami atau isteri kita juga sudah mempunyai dua ibu dan dua bapa. Jika selama ini kita lebih suka bersikap bekerja atau belajar sambil lewa sahaja, sekarang lebih bersemangat dan bekerja keras demi menyara keluarga yang dicintai.

Ya, seronok kahwin muda sebenarnya. Mana tidaknya, kita akan sama - sama berkongsi apa jua ujian dan kegembiraan yang kita ada bersama pasangan. Kegembiraan yang dirasai sukar difahami dan diterangkan dalam bentuk kata - kata. Ya, memang ada masanya sakit kepala memikirkan tentang ragam pasangan, anak kecil, perbelanjaan rumah tetapi semua ini tidak dirasai kerana kita mempunyai seorang teman yang sedia menjadi dahan tempat berpaut dan menjadi pendengar di kala suka dan duka. Terutamanya dengan kehadiran anak -anak yang comel dan sihat yang akan menambahkan lagi kegembiraan dan ketenangan.

Perkahwinan juga dapat mengubah sikap  seseorang yang dahulunya suka bersikap sambil lewa kepada lebih berfikir secara matang. Ia membuatkan kita ingin memajukan diri dan mengelakkan kita dari membuat kerja yang sia - sia seperti melepak bersama rakan atau membaca majalah yang bukan ilmiah. Perkahwinan sebenarnya memberi  kita peluang menambah ilmu. Contohnya dulu kita kurang mahir memasak sekarang sudah mahir bukan?

Saya sendiri akui titik tolak paling penting dalam kehidupan saya adalah perkahwinan, kerana mulai detik bergelar isteri saya berubah ke arah lebih baik. Sikap ambil mudah dan kurang rajin semasa zaman bujang dapat diubah secara perlahan - lahan. Saya sudah rajin untuk ke dapur dan mengemas rumah.

Dengan berkahwin semasa berusia muda, sudah tentu cepat mempunyai anak. Belum umur di usia persaraan pun anak-anak sudah sudah besar panjang dan tanggungjawab mendidik dan membesarkan sudah selesai. Dengan badan yang sihat, duit pun ada dan anak-anak sudah besar, kita bolehlah menghabiskan masa yang terluang dengan memperbanyakkan amalan dan boleh berbulan madu sekali lagi.

Pastinya tenaga usia muda lebih kuat jika dibandingkan usia ketika sudah lewat umur.  Menurut kajian perubatan, antara faktor utama kemandulan adalah berkahwin lambat bagi orang lelaki. Bagi orang perempuan pula juga perlu berhati - hati di mana jika kita berkahwin di usia lingkungan tiga puluh lima tahun, kita mungkin dinasihatkan untuk tidak mengandung kerana bimbang berlaku perkara yang memudaratkan diri.

Antara alasan mereka yang mahu melewatkan perkahwinan ialah kerana kekurangan kewangan.  Yalah, apabila sudah mendirikan rumahtangga tentulah asyik fikirkan perbelanjaan rumah seperti ansuran kereta, bayaran sewa rumah, bayaran pengasuh dan macam-macam lagi yang selalu bermain difikiran. Tapi percayalah, Tuhan tidak akan membebankan hambanya melebihi apa yang mampu ditanggung oleh mereka.

Berkahwin adalah tuntutan agama, dengan sendirinya rezeki itu akan datang kepada kita walaupun pada mulanya sedikit, tapi kelak kita akan dapat mengatasi kesulitan itu selagi kita percaya dan bepegang kepada rahmat - Nya.

Dapat Belajar Lagi.


Masa bujang, saya teringin belajar menjahit. Mahu belajar tapi tak tahu mahu mula dari mana. Keinginan tersebut saya simpan dalam hati sahaja. Maklum diri kurang tahu.

Alhamdulillah, selepas berkahwin, saya maklumkan keinginan belajar kepada tuan suami.  Dia sungguh menggalakan apabila mengetahuinya.

Akhirnya saya dapat belajar menjahit di Bangunan Cahaya Suria berdekatan dengan Stesen Puduraya, Kuala Lumpur. Saya berulang alik dari rumah di Cheras ke tempat belajar menaiki bas.  Saat sarat mengandung pun saya masih pergi belajar.

Namun begitu, saya berhenti belajar apabila melahirkan anak sulung. Kemudian sambung semula dan berhenti lagi sewaktu berpindah ke Kajang. Saya berhenti belajar terus semasa mengandungkan kali kedua.

Sekarang dengan sedikit ilmu menjahit yang pelajari, saya terus menambah lagi dengan melihat di YouTube dan membeli buku jahitan serta membaca blog yang berkaitan.

Hadiah


Setelah berkahwin, setiap tahun saya menerima hadiah hari lahir dari tuan suami. Sebenarnya, saya dibiasakan dari kecil untuk tidak menyambut hari kelahiran. Cukup dengan ucapan dan iringan doa dari mak dan abah pada hari ulangtahun.

Setiap kali ulangtahun saya, tuan suami berikan hadiah mengikut keperluan dan keadaan kewangan kami.  Antara hadiahnya jam tangan, beg tangan, sepasang baju atau buku.

Ada masanya, kami menyambutnya dengan makan di restoran saja. Ataupun saya memasak di rumah. Tentulah hidangan istimewa. Adakalanya, sekadar ucapan dan doa darinya.

Pada saya, hadiah tidak penting tetapi ingatan dari tersayang yang paling dihargai.

Saturday, 5 May 2018

Belajar Memasak


Nasi goreng, masakan paling mudah sebenarnya.  Namun susah bagi saya pada permulaan alam perkahwinan dulu.  Itulah masa emak dan kakak ingin mengajar, saya awal -awal lagi sudah lari buat kerja rumah yang lain.  Masa itu memasak bukanlah perkara yang menyukakan hati saya.  Paling saya takut adalah terkena percikan minyak panas.  Jika di suruh, saya akan memegang sudip dan berdiri jauh dari kuali.  Ya, jika begitu bagaimana hendak memasak. Emak dan kakak selalu memarahi saya.  Kata mereka siapalah yang ingin berkahwin dengan saya jika tidak tahu memasak.

Abang - abang saya juga mengatakan demikian.  Mereka sebagai lelaki juga tidak mahu berkahwin dengan seorang gadis yang tidak pandai memasak.  Masa itu saya cuma menjawab, doakanlah  supaya saya dapat berkahwin dengan seorang lelaki yang ada duit dan dapat menyediakan seorang pembantu rumah untuk saya. Wah! bukan main besar cita - cita saya ketika itu.

Rupanya semasa awal perkahwinan inilah masakan pertama yang saya hidangkan untuk suami. Tanpa banyak cakap dan rungutan, suami habiskan nasi goreng tersebut.  Sekarang baru saya tahu, nasi goreng yang saya hidangkan itu tawar rasanya.  Maklumlah saya tidak makan dan rasa walau sedikit pun nasi goreng itu. Ini kerana kami akan pergi berbulan madu selepas itu.

Sekarang, saya sudah cekap menyediakan nasi goreng.  In Shaa Allah, siap dalam tempoh dua puluh minit.  Alhamdulillah.  Buat bakal - bakal isteri belajarlah memasak. Tidak rugi pun.  Ia salah satu cara juga untuk menambat hati suami.

Memanjakan Diri


Macam - macam cara  yang boleh kita boleh gunakan untuk manjakan diri. Sebelum saya berkahwin tiada pakej seperti zaman sekarang.  Siap boleh ambil pakej satu badan lagi.

Baik secara tradisional atau moden, rawatan sebelum hari bahagia sudah popular di kalangan pasangan yang ingin berkahwin.  Berbagai pakej yang di tawarkan, ada yang biasa mahupun yang luar biasa.

Cuma, sebelum hari perkahwinan, emak pesan tumbuk kunyit dan beras bersama. Bila saya tanya, apa kegunaannya.  Mudah sahaja jawapan emak " nak licinkan badan. " Saya yang masih tidak dapat bayangan. Entah apalah yang ingin di buat emak, lantas menurut sahajalah.  Oh, rupanya semua bahan tersebut untuk lulur badan.  Manalah saya tahu kan.  " Blur " kata orang sekarang.

Itu secara tradisional, murah dan bahannya mudah didapati.  Apa jua cara pun boleh ya. Ingin buat sendiri atau ke salon kecantikan pun tidak mengapa.  Janji kita manjakan diri dulu.  Hilangkan tekanan sebelum hari bahagia kita.