Saturday, 5 May 2018

Belajar Memasak


Nasi goreng, masakan paling mudah sebenarnya.  Namun susah bagi saya pada permulaan alam perkahwinan dulu.  Itulah masa emak dan kakak ingin mengajar, saya awal -awal lagi sudah lari buat kerja rumah yang lain.  Masa itu memasak bukanlah perkara yang menyukakan hati saya.  Paling saya takut adalah terkena percikan minyak panas.  Jika di suruh, saya akan memegang sudip dan berdiri jauh dari kuali.  Ya, jika begitu bagaimana hendak memasak. Emak dan kakak selalu memarahi saya.  Kata mereka siapalah yang ingin berkahwin dengan saya jika tidak tahu memasak.

Abang - abang saya juga mengatakan demikian.  Mereka sebagai lelaki juga tidak mahu berkahwin dengan seorang gadis yang tidak pandai memasak.  Masa itu saya cuma menjawab, doakanlah  supaya saya dapat berkahwin dengan seorang lelaki yang ada duit dan dapat menyediakan seorang pembantu rumah untuk saya. Wah! bukan main besar cita - cita saya ketika itu.

Rupanya semasa awal perkahwinan inilah masakan pertama yang saya hidangkan untuk suami. Tanpa banyak cakap dan rungutan, suami habiskan nasi goreng tersebut.  Sekarang baru saya tahu, nasi goreng yang saya hidangkan itu tawar rasanya.  Maklumlah saya tidak makan dan rasa walau sedikit pun nasi goreng itu. Ini kerana kami akan pergi berbulan madu selepas itu.

Sekarang, saya sudah cekap menyediakan nasi goreng.  In Shaa Allah, siap dalam tempoh dua puluh minit.  Alhamdulillah.  Buat bakal - bakal isteri belajarlah memasak. Tidak rugi pun.  Ia salah satu cara juga untuk menambat hati suami.

No comments:

Post a Comment