Showing posts with label Bab 1 : Persediaan Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Bab 1 : Persediaan Perkahwinan. Show all posts

Sunday, 13 May 2018

Sesi Berkenalan


Dengan berpakaian baju kurung dan bertemankan seorang adik, saya bertemu dengan keluarga si dia.   Soalan pertama dari bakal mak mentua ialah habis sekolah agama darjah berapa. Dengan yakin masa itu saya jawab darjah empat. Ketika itu saya tidak terfikir, apakah yang tersembunyi di sebalik soalan yang mudah itu.

Rupa - rupanya jawapan yang saya berikan itu ada makna yang tersirat. Mentua cuma ingin tahu saya tahu atau tidak asas - asas agama. Dari jawapan itu mak tidak bertanya banyak, saya fikir ketika itu mak tidak berapa sukakan saya. Dengan wajah seriusnya, buat saya risau dan berdebar - debar adakah saya di terima atau tidak.

Semasa sesi berkenalan dan temuduga berlangsung, si dia tidak mengambil bahagian. Rupanya dia sengaja membiarkan saya menyesuaikan diri bersama keluarganya.  Alhamdulillah, saya lulus. Apabila  teringat kembali pengalaman bertemu dengan keluarga suami, saya tahu betapa pentingnya pengetahuan agama untuk bakal - bakal isteri di luar sana.

Paling penting dalam memilih pasangan adalah yang beragama. Astagfirullah.  Wallahu'alam.

Saturday, 5 May 2018

Belajar Memasak


Nasi goreng, masakan paling mudah sebenarnya.  Namun susah bagi saya pada permulaan alam perkahwinan dulu.  Itulah masa emak dan kakak ingin mengajar, saya awal -awal lagi sudah lari buat kerja rumah yang lain.  Masa itu memasak bukanlah perkara yang menyukakan hati saya.  Paling saya takut adalah terkena percikan minyak panas.  Jika di suruh, saya akan memegang sudip dan berdiri jauh dari kuali.  Ya, jika begitu bagaimana hendak memasak. Emak dan kakak selalu memarahi saya.  Kata mereka siapalah yang ingin berkahwin dengan saya jika tidak tahu memasak.

Abang - abang saya juga mengatakan demikian.  Mereka sebagai lelaki juga tidak mahu berkahwin dengan seorang gadis yang tidak pandai memasak.  Masa itu saya cuma menjawab, doakanlah  supaya saya dapat berkahwin dengan seorang lelaki yang ada duit dan dapat menyediakan seorang pembantu rumah untuk saya. Wah! bukan main besar cita - cita saya ketika itu.

Rupanya semasa awal perkahwinan inilah masakan pertama yang saya hidangkan untuk suami. Tanpa banyak cakap dan rungutan, suami habiskan nasi goreng tersebut.  Sekarang baru saya tahu, nasi goreng yang saya hidangkan itu tawar rasanya.  Maklumlah saya tidak makan dan rasa walau sedikit pun nasi goreng itu. Ini kerana kami akan pergi berbulan madu selepas itu.

Sekarang, saya sudah cekap menyediakan nasi goreng.  In Shaa Allah, siap dalam tempoh dua puluh minit.  Alhamdulillah.  Buat bakal - bakal isteri belajarlah memasak. Tidak rugi pun.  Ia salah satu cara juga untuk menambat hati suami.

Memanjakan Diri


Macam - macam cara  yang boleh kita boleh gunakan untuk manjakan diri. Sebelum saya berkahwin tiada pakej seperti zaman sekarang.  Siap boleh ambil pakej satu badan lagi.

Baik secara tradisional atau moden, rawatan sebelum hari bahagia sudah popular di kalangan pasangan yang ingin berkahwin.  Berbagai pakej yang di tawarkan, ada yang biasa mahupun yang luar biasa.

Cuma, sebelum hari perkahwinan, emak pesan tumbuk kunyit dan beras bersama. Bila saya tanya, apa kegunaannya.  Mudah sahaja jawapan emak " nak licinkan badan. " Saya yang masih tidak dapat bayangan. Entah apalah yang ingin di buat emak, lantas menurut sahajalah.  Oh, rupanya semua bahan tersebut untuk lulur badan.  Manalah saya tahu kan.  " Blur " kata orang sekarang.

Itu secara tradisional, murah dan bahannya mudah didapati.  Apa jua cara pun boleh ya. Ingin buat sendiri atau ke salon kecantikan pun tidak mengapa.  Janji kita manjakan diri dulu.  Hilangkan tekanan sebelum hari bahagia kita.

Hadiri Kursus Perkahwinan.


Sampai masanya seorang gadis akan berkahwin. Sebelum itu, saya perlu hadiri kursus kahwin dahulu. Ini antara salah satu syarat untuk berkahwin di Malaysia. Ada yuran yang perlu dibayar. Saya berkursus bersama si dia. Semuanya diuruskannya, saya cuma perlu hadir.

Ketika itu, kursus yang saya hadiri selama satu hari,satu malam. Ada ujian membaca bacaan solat. Ada ceramah mengenai undang-undang perkahwinan juga.

Apa yang akan saya pelajari di kursus kahwin ialah tentang tanggungjawab suami dan isteri.  Fungsi utama dan ikatan perkahwinan itu sendiri.  Cuma yang kurang selesa apabila penceramah lelaki mengupas tentang hubungan intim.  Merah-merahlah muka kami, para gadis mendengarnya. Tertunduk malu. Rasanya lebih sopan bila topik ini dibincangkan, asingkan sahaja anak gadis dan anak teruna.

Secara keseluruhannya amatlah baik menghadirinya. Banyak ilmu dan maklumat yang dapat kita perolehi di sini.

Hantaran atau Mas Kahwin?


Sebenarnya hantaran tidaklah wajib, yang WAJIB hanyalah mas kahwin.  Mas kahwin adalah hak kita.  Hantaran hanya salah satu adat masyarakat kita.

Mas kahwin (mahar) ialah pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.  Kenapa? Ia merupakan hadiah wajib seorang lelaki kepada isterinya kerana menerimanya sebagai suami. Apakah bezanya mas kahwin dengan hantaran? Hantaran pula ialah satu adat yang diamalkan disebut, juga boleh disebut sebagai 'balasan'.

Apakah hukum keduanya?
Mas kahwin hukumnya adalah wajib, sepertimana yang telah dinyatakan di dalam surah anNisa ayat 4.
" Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian ( yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya"

Mas kahwin ini merupakan hak mutlak isteri, dan suami tidak berhak untuk mengambilnya kembali.
Hantaran pula ialah hadiah kepada setiap pasangan masing-masing, ianya bukanlah hadiah yang wajib. Ia terpulang kepada pasangan.

Apa yang menjadi masalahnya kini, hantaran diletakkan dengan jumlah yang tinggi sehingga membebankan kepada bakal suami.  Ada juga ceritanya yang minta  hantaran tinggi kerana ingin berlawan dengan jiran, kakak atau orang lain. Apabila perkara ini berlaku, si lelaki akan mencari jalan dengan cara "pinjaman".

Kebahagiaan dirasai dengan duit yang banyak, sedangkan kemudharatan sedang menanti.  Jadilah satu keluarga yang akan hidup dengan hanya membayar hutang keliling pingang. Masa inilah waktu yang tepat untuk syaitan beraksi, saling menuduh, salah-menyalahkan dan akhirnya. Keretakan rumahtangga akan berlaku, nauzubillah.

Tidak kurang juga dengan "kegilaan" terhadap hantaran yang mewah. Sepertimana yang kita tahu hantaran adalah adat.  Hantaran ini boleh dilaksanakan selagi tiada unsur haram di dalamnya, contohnya hantaran arak.  Memang haramlah hukumnya dan selagi tidak membawa kepada pembaziran.  Maka tiada salahnya hantaran ini bagi memeriahkan majlis tapi biarlah berpada.  Maknanya, tidak menyusahkan serta membebankan kedua-dua pihak.  Jadi, mengenai hal ini perlulah mendapat perbincangan yang memudahkan kedua-dua pihak.

Di Malaysia nilai mas kahwin  telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri, nilainya dalam lingkungan RM22 hingga RM120.  Hanya yang kita lebih fokuskan dalam adat Melayu adalah wang hantaran yang nilainya mencecah ribuan ringgit.

Sebenarnya ibu bapa yang memainkan peranan dalam hal ini.  Mereka perlu sedar dan memahami kehidupan anak-anak bermula bila saja melangkah ke alam rumahtangga.  Bahagia anak-anak, bahagialah kita sebagai ibu-bapa.

Rasulullah pun dah pernah bersabda, " Sebaik-baik mas kahwin itu adalah yang paling senang atau paling rendah," ( Abu Daud)

Rasulullah bersabda lagi, "carilah (sesuatu yang boleh dijadikan mahar ) walaupun sebentuk cincin dari besi " (Bukhari dan Muslim )

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di antara kebaikan seorang wanita ialah mudah lamarannya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (yakni mudah melahirkan anak).” (Riwayat Imam Ahmad).

Sekiranya jumlah mas kahwin yang diwajibkan oleh syarak turut dianjurkan untuk dipermudahkan, inikan pula wang hantaran yang hanya sekadar adat sahaja.

Jangan pula kerana mahu membayar wang hantaran yang tinggi bakal pengantin lelaki terpaksa bergolok bergadai bahkan berhutang keliling pinggang. Setelah berkahwin terpaksa pula hidup dalam keadaan kewangan yang sempit yang akhirnya si isteri juga akan menanggung akibatnya.

“Nilai maruah seorang wanita atau isteri tidak terletak kepada nilai wang hantaran tinggi. Nilai seseorang wanita juga tidak wajar dilihat dari segi pendidikan, jawatan mahupun kemasyhuran."

Semua manusia tidak mengira keturunan, kedudukan, jantina mahupun bangsa adalah sama sahaja di sisi ALLAH SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan seseorang. Makin tinggi nilai takwa seseorang semakin mulia seseorang itu di sisi ALLAH SWT.

Apa guna status, kedudukan dan status sekiranya seseorang wanita itu tidak mampu menjadi hamba ALLAH yang baik mahupun isteri yang boleh membahagiakan suaminya
Jadikan hari pernikahan itu, PEMULA HARI KEBAHAGIAAN dan KETENANGAN, bukan HARI PENDERITAAN..

Dahulukan SYARIAT.  Tidak mengapa kita menolak adat, yang pentingnya kita TAAT.  Fahami konsep ini, " barangsiapa yang menyulitkan urusan orang lain, Allah akan menyulitkan urusannya di akhirat.."

Wednesday, 2 May 2018

Tips Pilih Pasangan

Masa mahu pilih pasangan, saya tetapkan beberapa syarat. Nak tahu tak, apa syaratnya? Salah satu syaratnya ialah berani. Dulu mana tahu saya kena pilih agamanya. Kurangnya ilmu.

Selain tu, nak macam abah. Bukankah abah idola saya. Kenapa? Abah pandai masak, tahu basuh baju sendiri dan bekerja keras. Di mata saya, abah ialah contoh lelaki yang baik.

Alhamdulillah, sungguh Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Tuan suami, sama macam abah. Itulah kuasa-Nya.